The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS19 : Selangor FC vs Melaka United FC | Menang Besar Untuk TCH

Oct 02, 2022 - FAS

Kemenangan besar diraih untuk perlawanan akhir di laman Gergasi Merah dalam saingan Liga Super 2022 setelah menewaskan Melaka United FC 5-0 di Stadium MBPJ semalam.

Ini merupakan perlawanan serta kemenangan pertama pasukan di bawah kendalian Ketua Jurulatih baharu Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe yang dilantik pada 24 September yang lalu.

Menurutnya, kemenangan besar ini merupakan permulaan yang baik dan dalam masa yang sama banyak lagi yang perlu diperbaiki oleh pasukan.

Walau bagaimanapun, bagi Tan Cheng Hoe, terlalu awal untuk beliau menetapkan kesebelasan utama namun apa yang beliau nampak semua pemain yang ada mempunyai kualiti tersendiri dan mampu membawa impak baik.

Berdasarkan perlawanan semalam, beberapa perkara penting yang dapat dicatatkan, seperti:-

1. Brendan Gan muncul sebagai #MOTM perlawanan

Kapten pasukan yang sentiasa memberikan segalanya dalam padang telah menjaringkan dua daripada lima gol semalam pada minit ke 66 dan 78 perlawanan. 

Setakat ini, untuk rekod, Brendan telah meledak lima jaringan gol serta satu bantuan gol setelah beliau kembali semula bersama pasukan sebaik sahaja pulih daripada Kanser.

2. Barisan pertahanan yang berdisiplin

Dua pertahanan tengah, Yazan Al-Arab dan Sharul Nazeem dilihat mempunyai komunikasi yang sangat baik di antara mereka bersama Fazly Mazlan dan Quentin Cheng dalam memastikan kubu pertahanan kukuh. Ini merupakan clean sheet keenam bagi barisan pertahanan musim ini.

3. Pemilihan pemain gantian yang memberi impak tinggi

Tiga pemain penyerang iaitu Danial Asri, Aliff Haiqal dan Shahrel Fikri dimasukkan bagi menambah impak dalam menyerang. Percubaan demi percubaan dilakukan, hasilnya tiga gol dijaringkan di separuh masa kedua. 

Tidak lupa juga kemasukan Baha’ Abdelrahman dan Harith Haiqal yang telah membantu pasukan bertahan tanpa bolos hingga ke wisel penamat. 

Secara kesuluruhan, pujian kepada kesemua pemain yang telah berjuang dalam perlawanan semalam. Mereka telah berikan yang terbaik untuk mendapatkan kemenangan besar serta tanpa bolos kepada pasukan. 

Selangor FC mengucapkan tahniah kepada pasukan. Semoga terus berjuang dengan cemerlang sehingga tamat Liga M musim ini.

Demi Kebanggaan.